Want create site? Find Free WordPress Themes and plugins.

Sumber: Berita Harian (28 Januari 2018)

Penulis: Oleh Junita Mat Rasid

JOHOR BAHRU: Akses kepada internet menjadi lebih mudah bagi rakyat Johor dengan pelancaran JCorp WiFi membabitkan pemasangan lebih 800 hotspot kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi secara percuma ke setiap daerah di negeri ini.

Kemudahan jalur lebar (WiFi) dikenali JCorp WiFi adalah inisiatif terbaharu Johor Corporation diadakan dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui TM ONE dilancarkan oleh Menteri Besar, Mohamed Khaled Nordin, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif, TM ONE, Azizi A Hadi.

Mohamed Khaled berkata, inisiatif JCorp WiFi adalah antara Titik Sentuhan Bajet Johor 2018 dengan kos keseluruhan sebanyak RM10 juta setahun untuk lima tahun tempoh operasi.

“Kemudahan ini bukan sahaja tersedia untuk masyarakat di bandar, malah beberapa hotspot di kawasan yang terpilih di kawasan luar bandar. Semua ini adalah kerana kita ingin memastikan yang kawasan luar bandar dan bandar di Johor akan terhubung dengan baik.

“Hanya dengan jaringan internet yang stabil dan meluas seperti ini, kawasan luar bandar akan dapat menerima pelbagai limpahan ekonomi dari bandar dan sebaliknya,” katanya.

Sementara itu Kamaruzzaman berkata, JCorp WiFi boleh diakses secara percuma 24 jam dan menjadi inisiatif transformasi digital JCorp bagi menyediakan akses untuk terus berhubung pada setiap masa serta meningkatkan pengalaman pelanggan dalam talian.

Katanya, projek itu dilaksanakan secara berperingkat mulai November tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari ini.

Selepas majlis pelancaran itu, Mohamed Khaled turut melakukan tinjauan kemajuan projek bagi menaik taraf Terminal Larkin Sentral.

Terminal Larkin Sentral menjadi tumpuan lebih 27,000 pengunjung yang menggunakan pengangkutan awam dan membeli-belah setiap hari.

Kerja menaik taraf terminal membabitkan dua komponen utama iaitu naik taraf fasiliti seperti platform bas, ruang menunggu dan kaunter serta kios pembelian tiket, selain sistem pembelian tiket berpusat (E-Ticketing System) dan sistem menurunkan dan mengambil penumpang di platform (Entry System).

Kerja menaik taraf terminal bermula Mac 2016 dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac ini membabitkan nilai pembangunan RM15.7 juta.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled melancarkan aplikasi E-Hailing Teksicoop iaitu aplikasi mudah alih telefon pintar atau ‘e-hailing’ untuk mendapatkan perkhidmatan teksi, sekali gus mendorong pemandu teksi meningkatkan mutu perkhidmatan seterusnya melahirkan pemandu celik IT.

Menerusi aplikasi ini, pemandu teksi berupaya mengimbangi tawaran perkhidmatan dengan permintaan mengikut aliran pasaran.

Did you find apk for android? You can find new Free Android Games and apps.